Wednesday 22 April 2015

HARIMAU DAN KAMBING
Permainan Harimau dengan Kambing amat digemari oleh banyakan kanak-kanak, sama ada lelaki mahupun perempuan. Permainan ini menguji ketahanan pemain yang menjadi kandang atau pagar. Ia turut menguji kepintaran Kambing untuk mengelakkan diri daripada dimakan oleh pemain yang menjadi Harimau dan memperlihatkan bagaimana helah Harimau untuk menangkap Kambing. Setiap pemain yang bermain mempunyai peranan masing-masing. Permainan ini biasanya sesuai dimainkan pada waktu petang dan ia boleh dijadikan salah satu permainan kecil dalam mata pelajaran Pendidikan Jasmani di sekolah. Permainan ini sungguh menggembirakan.

TEMPAT
Permainan ini sesuai dimainkan di kawasan yang lapang seperti di halaman rumah atau padang.

PERALATAN
Tiada sebarang peralatan digunakan dalam permainan ini.

PERMAIN
Bilangan permain tidak terhad. Ia boleh dimainkan oleh kanak-kanak lelaki atau perempuan.

LANGKAH-LANGKAH PERMAINAN
  1. Undian perlu dilakukan untuk membuat pemilihan pemain yang akan menjadi Kambing dan Harimau. Cara undian terpulang kepada pemain.
  2. Setelah undian dilakukan, pemain yang tidak terpilih menjadi Harimau atau Kambing dikehendaki merangkai tangan untuk membentuk bulatan.
  3. Bulatan yang dibina disebut sebagai pagar atau kandang. Dalam permainan ini, pemain yang membentuk pagar tidak boleh melepaskan rangkaian tangan.
  4. Sebelum permainan dimulakan, pemain yang menjadi Kambing hendaklah berada di dalam kawasan pagar.
  5. Apabila permainan dimulakan, pemain yang menjadi Harimau perlu mencari helah untuk menangkap pemain yang menjadi Kambing.
  6. Pemain yang menjadi Kambing akan cuba mengelakkan dirinya daripada ditangkap oleh pemain yang menjadi Harimau.
  7. Pemain yang menjadi pagar akan bertindak untuk membantu pemain yang menjadi Kambing dan menghalang pemain yang menjadi Harimau daripada menangkap pemain yang menjadi Kambing.
  8. Sekiranya pemain yang menjadi Kambing berjaya ditangkap oleh pemain yang menjadi Harimau, undian semula perlu dilakukan untuk memilih pemain yang akan menjadi Harimau dan Kambing yang baru.
  9. Permainan yang diulang semula, perlu melalui cara permainan yang sama.
PERATURAN PERMAINAN
  1. Terdapat tiga peranan pemain dalam permainan ini. Seorang pemain akan menjadi Kambing, seorang lagi menjadi Harimau dan lain-lainnya menjadi pagar. Pemain-pemain boleh juga memilih lebih daripada seorang untuk menjadi Kambing dan Harimau.
  2. Pemilihan pemain yang menjadi Harimau dan Kambing dilakukan secara undian.
  3. Pemain yang menjadi pagar akan merangkaikan tangan antara satu sama lain dengan tujuan untuk mengawal dan menghalang Kambing daripada ditangkap oleh Harimau.
  4. Pemain yang menjadi pagar juga dibenarkan berdiri atau duduk untuk menghalang Harimau masuk ke dalam kandang.
  5. Harimau dibenarkan melompat, menyorok atau merempuh pagar yang dibina dengan tujuan untuk masuk ke dalam kandang dan menangkap Kambing.
  6. Kambing boleh bebas keluar dan masuk kandang untuk menyelamatkan diri daripada ditangkap oleh Harimau.
  7. Sekiranya Harimau berjaya menangkap Kambing, permainan dikira tamat. Undian untuk memilih Kambing dan Harimau baru bolehlah dilakukan.
  8. Permainan semula akan berjalan seperti biasa dengan me-matuhi cara dan peraturan yang sama.

No comments:

Post a Comment